Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Zakaria Ahmad berkata, lelaki berusia 56 tahun ditahan polis dalam satu operasi khas di Taman Daya di sini pada pukul 9.15 malam dan barangan dirampas di sebuah rumah di Taman Mount Austin.
Menurutnya, semasa lelaki yang disyaki menjadi pengedar dadah di kelab-kelab malam sejak tiga bulan lalu ditahan, polis menemukan sebanyak 27 gram dadah jenis syabu pada badan suspek.

"Susulan itu, polis menjalankan pemeriksaan di rumah yang didiami lelaki tersebut di Taman Mount Austin dan menemukan pelbagai jenis dadah serta peralatan dipercayai untuk membungkus dadah dengan nilai dianggarkan RM1.23 juta.
"Di rumah tersebut, polis menemukan dadah dipercayai syabu seberat 5.8 kilogram, pil ekstasi (5,536 biji), ketamin (565 gram), erimin 5 (200 biji) heroin (220 gram) dan serbuk ekstasi (35 gram)," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Asisten Komisioner Zulkifli Ali dan Pegawai Turus Risikan dan Operasi JSJN negeri, Deputi Superintenden Lim Jit Huay. - UTUSAN ONLINE