KUALA LUMPUR: Seorang bapa dua anak yang mengaku bersalah menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya, menangis teresak-esak ketika merayu bagi mengurangkan hukuman di Mahkamah Trafik di sini, hari ini.
“Saya penanggung utama keluarga, isteri masih dalam pantang anak kedua yang baru berusia 20 hari, saya mohon maaf atas kesalahan yang saya lakukan dan saya merayu agar diberikan denda yang ringan, saya telah insaf,” kata Muhammad Putra Zulfaiz Zaidi sambil menangis teresak-esak.
Majistret Noorul Fhaiez Mohd Nayan menjatuhkan hukuman penjara dua hari dan denda RM5,500 ke atas Muhammad Putra Zulfaiz, 22, selepas dia mengaku melakukan perbuatan tersebut di Jalan Raja Laut, di sini, pada 1.50 pagi tadi.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu yang bekerja sebagai mekanik dipenjara dua bulan lagi jika gagal membayar denda serta hilang kelayakan memohon dan memiliki lesen selama dua tahun.
Dia yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.
Tertuduh membayar denda berkenaan.
Di mahkamah sama, seorang jurujual kamera, Liew Chee Hong, 32, didenda RM1,800 atau dua bulan penjara selepas mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol di Jalan Syed Putra, di sini pada 5.00 pagi, 10 September lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM6,000 dan penjara maksimum 12 bulan.
Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan denda yang minimum dengan alasan dia mempunyai dua anak yang masih kecil.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Hashimah Hashim. – Bernama
No comments:
Post a Comment