Thursday, September 15, 2016

Himpunan BERSIH 5 ditetapkan 19 November depan

PETALING JAYA: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH2.0) hari ini secara rasmi mengumumkan 19 November depan sebagai tarikh untuk menganjurkan perhimpunan BERSIH 5.

Pengerusinya, Maria Chin Abdullah  berkata, himpunan kali ini adalah untuk menuntut tindakan lanjut mengenai isu 1MDB.

"Oleh itu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH2.0) menegaskan bahawa Perdana Menteri, Najib Razak harus meletak jawatan dengan serta merta untuk membolehkan siasatan bebas dijalankan," katanya dalam sidang media di sebuah hotel di sini sebentar tadi.

Bantahan itu didokong bersama oleh parti pembangkang seperti DAP dan PKR. Namun PAS dijangka memulaunya kerana menganggap tunjuk perasaan berkenaan diatur untuk menggulingkan kerajaan secara tidak demokrasi.

Namun Maria berkata, pihaknya menjemput semua parti politik dan mana-mana pihak yang menyokong agenda perubahan.

Beliau yang turut ditanya sama ada wujud perbincangan untuk menjemput mantan perdana menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad ke himpunan itu, hanya menjelaskan perbincangan itu 'tidak secara langsung'.

"Perbincangan (dengan Tun Mahathir) tidak secara langsung. Tapi biasanya BERSIH akan menjemput semua parti politik, dan beliau mempunyai partinya sendiri, sudah tentu kami jemput.

"Dan seperti biasa, sesiapa saja yang menyokong agenda perubahan kami, boleh sertai himpunan mahupun konvoi atau ceramah," kata Maria.     

Bagaimanapun ujarnya, tuntutan BERSIH tidak hanya terhad kepada skandal 1MDB dan peletakan jawatan oleh Najib sahaja.

Beliau turut menyenaraikan lima tuntutan lain gabungan berkenaan.

Ia adalah pilihan raya bersih, kerajaan bersih, kukuhkan demokrasi berparlimen, hak membantah dan memperkasa Sabah dan Sarawak.

Beliau menambah, BERSIH 2.0 akan melancarkan Konvoi BERSIH di seluruh negara secara serentak pada 1 Oktober ini membabitkan enam bandar utama seperti Kangar, Johor Bahru, Kota Bharu, Lumut, Sandakan dan Miri.

Himpunan pada 19 November ini adalah kemuncak di mana ia akan berakhir di Kuala Lumpur. 

"Maklumat terperinci mengenai perhimpunan ini akan diumumkan dalam masa terdekat," ujarnya.

Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang sebelum ini menawarkan untuk mencari stadium yang sesuai bagi penganjuran himpunan BERSIH 5, namun Maria menolak tawaran berkenaan.

Turut hadir dalam sidang media itu adalah aktivis merangkap Jawatankuasa Pemandu BERSIH, Hishamuddin Rais, bekas pengerusi Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenivasan, pemimpin pelajar Anis Syafiqah Md Yusof dan sebahagian wakil NGO.

No comments:

Post a Comment

Follower