Thursday, September 15, 2016

K'jaan lalu tak fokus, Najib ikrar perbaiki pengangkutan awam

Kerajaan lalu dilihat gagal memberi tumpuan terhadap pengangkutan awam di negara ini menyebabkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau perlu memperbetulkan kelemahan tersebut.
"Sejak berdekad lalu kita (kerajaan) tidak memberi tumpuan kepada pembangunan pengangkutan awam.
“Kini kita berdepan akibat kurangnya fokus dengan masalah trafik bukan sahaja di Lembah Klang, tetapi banyak bandar-bandar lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika perasmian majlis pecah tanah MRT aliran Sungai Buloh - Serdang - Putrajaya di Putrajaya Sentral hari ini.
Katanya, kesan kesesakan lalu lintas yang teruk menyebabkan terdapat kawasan bandar kurang ideal untuk didiami sekaligus membuatkan pelabur dan pelancong kurang berminat untuk ke negara ini.
“Oleh itu kami telah mengambil langkah bagi memperbetulkan kelemahan sistem pengangkutan awam untuk kita sampaikan kepada rakyat satu sistem pengangkutan yang lebih baik.
“Yakinlah saya (sebagai) perdana menteri akan memberi sepenuh perhatian bagi pemodenan infrastruktur pengangkutan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika perasmian majlis pecah tanah MRT aliran Sungai Buloh - Serdang - Putrajaya (SSP) di Putrajaya Sentral hari ini.
Katanya, selain itu kesesakan lalu lintas turut menjejaskan minat pelancong dan juga pelabur asing ke negara ini.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan pula berkata, pembinaan MRT seharusnya dilakukan sejak zaman bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun oleh kerana sebab-sebab tertentu ia tidak dapat dibina.
“Saya nak katakan pembinaan pengangkutan awam seperti MRT ini perlu bagi sebuah ibu kota seperti Kuala Lumpur ini yang terkenal kemajuan.
“Ini adalah lambang kemajuan kita sebab itu penting MRT LRT ini dibangunkan sekarang, sepatutnya kita buat 20 tahun yang lalu , tapi sebab beberapa alasan ia tidak dapat dilakukan, jadi kita buat sekarang,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.
Projek MRT Laluan Sungai Buloh- Serdang- Putrajaya (SSP) merupakan projek kedua MRT berhampiran Putrajaya Sentral dengan laluan sepanjang 52.2 kilometer.
Laluan SSP mempunyai 37 stesen dan 11 daripadanya merupakan stesen bawah tanah.

Ia akan beroperasi dari Sungai Buloh ke Putrajaya melalui kepong, Batu, Jalan Ipoh, Titiwangsa, KLCC, Tun Razak Exchange, Bandar Malaysia, Sungai Besi, Serdang, UPM dan Cyberjaya.
Fasa pertama bagi MRT laluan SSP dari Sungai Buloh ke Kampung Batu dijangka beroperasi pada suku kedua tahun 2021, manakala keseluruhan laluan dijangka beroperasi sepenuhnya pada suku kedua tahun 2022.
MRT ini dijangka mampu menampung seramai 529,000 penumpang setiap hari.

Sumber: MalaysiaKini

No comments:

Post a Comment

Follower