Friday, July 30, 2010

Karnival Malaysia Inovatif Zon Timur di TTC


Pintu Gerbang Karnival

Pada 30 hingga 31 Julai 2010, Karnival Malaysia Inovatif telah diadakan di Terengganu Trade Centre di Kuala Terengganu. Saya dan kawan-kawan tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi karnival tersebut kerana banyak informasi yang boleh kami perolehi disana mengenai teknologi-teknologi terkini ciptaan rakyat Malaysia.




Sebagai informasi, Malaysia Inovatif 2010 bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan memupuk budaya inovasi di kalangan rakyat Malaysia ke arah penghasilan kekayaan, penjanaan ilmu dan kesejahteraan rakyat. Karnival ni mempunyai tema 'Meraikan Kreativiti' dimana kumpulan sasar adalah Terdiri dari semua golongan masyarakat seperti pelajar-pelajar sekolah, golongan Orang Kurang Upaya (OKU), komuniti, wanita penyelidik, saintis, wakil Kerajaan, wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan dan pihak swasta.




Di Karnival Malaysia Inovatif Zon Timur, terdapat banyak aktiviti yang dianjurkan. Antaranya adalah Pertandingan Inovasi Akar Umbi, Pertandingan Canting, Bengkel Kreativiti & Inovasi, Malam Kreativiti Muzikal, Program SEDIA Wanita, Pameran Inovasi Akar Umbi, Jualan Produk-produk Kreatif dan Berinovasi dan Cabutan Bertuah.

Banyak produk penyelidikan anak tempatan yang begitu mengujakan. Penyelidikan mereka membuktikan anak Malaysia juga mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan penyelidik luar negara. Syabas diucapkan!




Setelah keletihan, kami singgah di kedai mamak yang terletak didalam bangunan Mydin Mall. Kedai ini terletak dibahagian hujung sekali berhampiran dengan tapak letak kenderaan. Kami memilih menu nasi campur berlaukkan ayam tandori, sayur kacang dan kuah kari, manakala minuman pula, saya memilih minuman sunquick.




Jom Makan-makan di Terengganu!! Melancong sambil menikmati hidangan yang lazat!! Nyum-nyum..


Sila Klik untuk paparan yang lebih jelas.
Sekiranya ingin mengetahui dengan lebih detail mengenai lokasi TTC, sila hubungi saya disini






Wednesday, July 7, 2010

Keunikan hiburan di Terengganu


Mydin, antara pasaraya yang terdapat di Terengganu

Kebanyakan orang tertanya-tanya kenapa negeri Terengganu tidak mempunyai Kompleks membeli-belah yang besar, pawagam besar dan sebagainya yang sinonim dengan mereka yang gemar bersosial pada waktu lapang. Situasi ini tidak dapat saya jelaskan namun disebalik kekurangan fasiliti hiburan seperti yang saya sebutkan tadi, sebenarnya Terengganu menyediakan banyak lagi bentuk fasiliti dan destinasi yang mampu menghiburkan anda semasa berada di Terengganu terutamanya kemudahan semulajadi yang terdapat disana seperti Pantai dan pulau.

Saya mencadangkan kepada mereka yang memilih untuk melancong ke Terengganu, anda sangat-sangat digalakkan untuk memanfaatkan kedatangan anda dengan melawat kesemua destinasi pelancongan yang ada supaya dapat mengenali negeri ini dengan lebih mendalam.

Apa yang ingin saya tekankan disini adalah kehidupan saya sepanjang berada di Terengganu memang tidak sunyi dengan aktiviti melawat ketempat-tempat yang menarik. Lagipun, saya tidak perlu mengeluarkan kos yang banyak untuk melawat kesesuatu tempat. Apatah lagi tempat tinggal saya terletak berhampiran dengan pantai tok jembal dan pantai teluk ketapang. Saya bersama rakan-rakan lain akan berpiknik dan bermain bola tampar dipantai Tok Jembal. Kadang-kadang kami juga akan mandi air laut tetapi bergantung kepada keadaan cuaca.

Disepanjang pantai, anda pasti akan terjumpa gerai yang menjual layang-layang pelbagai bentuk. Harganya sangat murah dari RM5 hingga RM20 bergantung kepada bentuk dan saiz layang-layang tersebut. Ada yang berbentuk tradisional seperti Wau dan tidak ketinggalan layang-layang berbentuk watak kartun popular seperti Doraemon, Ultraman, Spiderman dan sebagainya. Aktiviti bermain layang-layang memang popular di kawasan pantai sekitar Terengganu kerana tiupan angin yang kencang dan konsisten disebabkan kedudukan yang strategik disamping mengalami 2 monsun iaitu monsun timur laut dan monsun barat daya. Pada monsun timur laut, angin yang bertiup sangat kencang dan pada waktu inilah aktiviti bermain layang-layang begitu aktif bergantung kepada keadaan cuaca samada hujan atau tidak.



Walaubagaimanapun, anda juga boleh membuat layang-layang sendiri dengan menggunakan bahan-bahan terbuang seperti plastik pembungkus, lidi dan benang. Kalau anda sukar untuk membuat sendiri, anda bolehlah mendapatkan layang-layang dengan harga berpatutan. Pengalaman bermain layang-layang di Terengganu WAJIB tidak dilepaskan. Bukan mudah untuk kita menerbangkan layang-layang yang besar jika keadaan tiupan angin yang lemah, namun tidak di Terengganu, Insyaallah Layang-layang anda mampu terbang tinggi tanpa sebarang masalah.

Banyak lagi yang ingin saya ceritakan mengenai kepelbagaian bentuk hiburan yang terdapat dinegeri Terengganu. Namun tunggu di lain entri ye. Sekarang saya nak makan di Restoran Pertom, menu yang saya order adalah Kue Tiaw goreng Pedas dan Air Sunquick. Jemput makan!!!

Jom Makan-makan di Terengganu!! Melancong sambil menikmati hidangan lazat!! Nyum-nyum..


Tuesday, July 6, 2010

Berbeteng Cafe, Taman Tamadun Islam


Berbeteng Cafe, Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu

Salah seorang peminat laman blog ini di facebook yang bernama Diana Cia Dave telah mencadangkan saya untuk mengunjungi Berbeteng Kafe yang terletak di Taman Tamadun Islam (TTI). Baru-baru ini saya bersama kawan telah melawat Taman Tamadun Islam untuk merehatkan badan dan minda kerana keletihan menjalankan tugas sebagai pelajar dan pembantu penyelidik universiti.

Kami telah pergi ke restoran terbabit dan memang terbukti seperti yang diperkatakan. Makanan yang dihidangkan memang sangat lazat dan sungguh menyelerakan. Lagipun suasana dan pemandangan disekeliling restoran tersebut pun cantik dan mempersonakan terutamanya pada waktu malam kerana kawasan itu bermandikan cahaya lampu neon.

Sebagai informasi, restoran ini dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 11 malam dan kadang-kadang dibuka sehingga jam 5 pagi jika ada acara besar diadakan di sekitar Taman Tamadun Islam. Antara makanan yang dihidangkan untuk santapan pengunjung adalah seperti Makanan Arabic, Makanan Barat dan Makanan Tempatan.

Jadi jika anda berkunjung ke Taman Tamadun Islam, anda tidak perlu gusar untuk mendapatkan makanan yang enak kerana restoran ini mampu menghidangkan makanan yang anda inginkan. Jumpa disana ya!

Jom Makan-makan di Terengganu!! Melancong sambil menikmati hidangan lazat!! Nyum-nyum..


Klik Gambar untuk melihat Peta lebih jelas



Saturday, July 3, 2010

Berkunjung ke Taman Tamadun Islam (TTI)



Adakah anda mengenali Taman Tamadun Islam? Untuk pengetahuan anda, Taman Tamadun Islam merupakan sebuah Taman yang menyediakan pengalaman kembara interaktif terhadap monumen-monumen Islam yang terdapat di seluruh dunia. Di taman ini, para pengunjung dan pelancong asing dapat memperolehi pendidikan dan hiburan berinformatif tentang destinasi dan monumen Islam didunia.

Taman ini terletak di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu dan seluas 23 hektar. Taman Tamadun Islam ini terbahagi kepada dua zon iaitu Kompleks Taman Tamadun Islam dan Zon Awam.



Taman Tamadun Islam dipercayai merupakan taman tema pertama yang mengiktiraf senibina Islam didunia. Kompleks ini menempatkan 21 replika bangunan berkaitan sejarah Islam dunia. Tarikan utama di sini termasuk Masjid Negara (Malaysia), Dome of the Rock (Palestin), Masjidil Haram (Arab Saudi), Al-Hambra Citadel (Spain) dan Taj Mahal (India). Terdapat juga Mimbar Kalyan (Uzbekistan), Makam Abu Nasr (Afghanistan), Mimbar Berputar Samarra (Iraq), Masjid Mohd Ali (Kaherah), Masjid Besar Qairawan (Tunisia), Masjid Besar Agadez (Nigeria), Aleppo Citadel (Syria), Masjid Kul Syarif (Russia) dan Mimbar Xian, China. Ikon bagi Taman Tamadun Islam ialah Masjid Kristal, yang menjadi mercu tanda baru bagi Kuala Terengganu. Masjid unik ini diperbuat dari kristal kaca dan besi yang telah dibuka secara rasminya oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 8 Februari 2008. Anda boleh mendapatkan lebih informasi mengenai Taman Tamadun Islam di www.tti.com.my.



Pada Oktober 2008, Seramai 30 orang ahli kelab Debat Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menghadiri majlis Debat Komuniti Merdeka peringkat akhir yang telah diadakan di Taman Tamadun Islam Kuala Terengganu.



Pertandingan ini menyaksikan pertemuan diantara pasukan Debat Negeri Sembilan (Kerajaan) dan pasukan debat negeri Pulau Pinang (pembangkang). Usul berbunyi "Subsidi masih diperlukan". Gelaran juara dimiliki oleh pasukan debat negeri Pulau Pinang.



Disana kami dapat melihat keindahan dan kecantikan yang terdapat di Taman Tamadun Islam. Disamping menghadiri majlis debat, kami juga sempat bersiar-siar dan mengambil gambar fotografi disekitar kawasan tersebut. Pengalaman ini memang cukup menyeronokkan!!



Antara makanan yang dihidangkan kepada kami adalah Nasi Minyak, Nasi Dagang, Keropok Lekor, Ayam masak merah dan sebagainya. Makanan yang disediakan sungguh lazat dan menyelerakan!!

Pengangkutan
Teksi, Pengangkutan Awam
Perkhidmatan bas dari bandaraya ke taman ini sudah beroperasi. Selain itu, terdapat pengangkutan teksi dari pusat bandar ke taman tersebut.

Bot penambang
Pelawat juga boleh menggunakan bot penambang dari jeti Shahbandar ke jeti Tok Ku Paloh, yang terdapat di taman itu.

Talian Untuk Dihubungi
Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:
Pejabat Taman Tamadun Islam,
Pulau Wan Man, Losong Panglima Perang
21000 Kuala Terengganu, Terengganu
Tel: +609 627 8888 Faks: +609 630 9020.

Anda juga boleh hubungi Pejabat Tourism Malaysia Terengganu di talian +609-622 1433 / 1893.


Klik Gambar untuk melihat Peta lebih jelas



Follower