Thursday, June 24, 2010

Makan-makan di rumah rakan Terengganu



Rakyat Terengganu memang terkenal dengan sikap bersopan santun dan menghormati tetamu. Anda juga tidak perlu gusar sekiranya anda daripada berlainan keturunan atau agama kerana mereka akan menghormati anda dan dilayan dengan baik. Mengikut pengalaman saya, setiap kali kami mengunjungi rumah rakan-rakan Terengganu, kami akan dilayan dengan sangat baik dan lebih mengejutkan kami akan disajikan dengan hidangan yang lazat seolah-olah kedatangan kami telah dirancang dan mereka membuat persediaan untuk menjamu kami semua. Saya benar-benar teruja dengan adab sopan santun dan menghormati tetamu yang masih dipertahankan dan dikekalkan oleh rakyat negeri Terengganu. Sebab itu mengapa saya tidak gusar atau menolak jika kawan-kawan mengajak saya berkunjung kerumah mereka.



Andai keluarga kawan-kawan saya mengadakan aktiviti keramaian seperti kenduri kahwin dan kenduri arwah, kami akan dijemput kerumah mereka. Kekerapan kami berkunjung kerumah rakan-rakan negeri Terengganu telah membuatkan saya sangat sebati dengan budaya dan adat rakyat negeri Terengganu.



Semasa awal kedatangan saya ke negeri Terengganu pada tahun 2006 lalu, saya memang benar-benar tidak memahami loghat yang dipertuturkan oleh masyarakat negeri Terengganu, namun lama-kelamaan saya berjaya memahaminya kerana terdedah dengan loghat tersebut, bukan sahaja daripada rakan-rakan tetapi juga daripada penduduk setempat. Oleh sebab itu, saya tidak mempunyai masalah jika berbual dengan penduduk setempat yang mempunyai loghat pekat negeri Terengganu.



Antara makanan yang dihidangkan kepada kami adalah keropok lekor, keropok keping, otak-otak, bihun, sate daging dan sebagainya. Makanan yang dihidangkan memang sangat lazat dan menyelerakan.



Saya mencadangkan kepada pelancong-pelancong yang berkunjung di Terengganu, lebih baik sekiranya anda menginap di homestay kerana ia akan memudahkan anda berinteraksi dengan penduduk tempatan. Saya yakin anda akan selesa dan suka dengan layanan yang diberikan oleh penduduk tempatan kepada anda. Cubalah untuk menikmati sebanyak mana menu hidangan yang terdapat di Terengganu. Anda pasti akan menyesal sekiranya tidak mencubanya kerana hidangan makanan di negeri ini sangat lazat dan menyelerakan..

Jadi, jom makan-makan di Terengganu!!! Melancong sambil menikmati hidangan lazat!!! Nyum-nyum...


No comments:

Post a Comment

Follower