Wednesday, June 30, 2010
Laksa Terengganu
Kali ini saya ingin memperkenalkan kepada anda satu lagi hidangan istimewa dan lazat yang terdapat dinegeri Terengganu iaitu Laksa Terengganu. Laksa Terengganu adalah sejenis makanan mi berkuah panas yang popular di negeri Terengganu.
Laksa Terengganu biasanya dihidangkan bersama dua jenis kuah, iaitu kuah masak dan kuah mentah. Kuah mentah biasanya dibuat dengan menggunakan santan yang diharong (dicampur air panas) sahaja tanpa dimasak, dan dicampurkan dengan lada hitam, bawang dan isi ikan. Kuah masak pula disediakan dengan rempah dan hampir sama dengan kuah laksa Johor, tetapi lebih kuning. Kuah mentah biasanya tidak tahan lama dan perlu dibuat hanya apabila hendak dihidangkan.
Untuk pengetahuan, sebenarnya perkataan laksa itu adalah nama yang diberikan kepada mi untuk menyediakan laksa. Laksa Terengganu biasanya dihidangkan dalam beberapa gabungan dengan menggunakan laksa tepung (gandum) atau laksa beras contohnya gabungan laksa tepung dan kuah masak sahaja, gabungan laksa tepung dan kuah mentah dan kuah masak, gabungan laksa beras dan kuah masak, atau atau laksa beras dan kuah mentah.
Setakat ini saya hanya sempat untuk merasai laksa tepung dan kuah masak sahaja. Namun demikian, saya akan berusaha untuk merasai kelazatan laksa yang disediakan menggunakan gabungan laksa beras dan kuah mentah memandangkan saya masih berada di Terengganu dalam jangka masa lama.
Saya terkejut melihat kawan saya memakan laksa dengan menggunakan tangan. Saya ingatkan itu memang tabiat dan caranya makan dan tiada kaitan dengan adat atau adab memakan laksa di negeri Terengganu. Memandangkan kekerapannya memakan laksa dengan menggunakan tangan, saya segera bertanya kepadanya mengenai hal tersebut.
Sambil tersenyum dia memberitahu laksa Terengganu kebiasaannya dimakan dengan menggunakan tangan dan bukannya sudu atau garpu. Sebab itulah mengapa laksa terengganu tidak mengandungi banyak kuah sepertimana laksa negeri lain. Walaubagaimanapun, menurutnya lagi, pada waktu ini sudah kurang penduduk Terengganu yang memakan laksa dengan menggunakan tangan. Mungkin disebabkan laksa jarang dimasak dirumah dan selalunya dimakan dikedai yang mana menyediakan sudu dan garpu, Ia ditambah laksa Terengganu gemar dimakan semasa masih panas kerana rasanya yang lebih sedap berbanding ketika sejuk. Maka ramai yang lebih selesa menggunakan sudu dan garpu.
Namun demikian, bagi merasai suasana sebenar negeri Terengganu, sebagai pelancong atau pelawat, kenapa tidak untuk kita menikmati keaslian Laksa Terengganu dengan menggunakan tangan? Jadi marilah bersama-sama mencubanya!
Saya selalu membeli laksa Terengganu di Pasar Malam dan harganya pun sangat murah iaitu antara RM1.00-RM1.50. Kebiasaannya, jika kita membeli laksa di pasar malam atau pasar minggu, mi laksa akan dibungkus berasingan dengan kuah laksa. Dengan itu, sebelum menikmati mi laksa, kita boleh panaskan terlebih dahulu kuah laksa supaya rasanya lebih lazat.
Jom Makan-makan di Terengganu!!! Melancong sambil menikmati hidangan lazat!!! Nyum-nyum...
Nama Makanan: Laksa Terengganu
Tempat Makanan:
Kuala Terengganu
Pasar Minggu Pengadang Baru (Selasa)
Pasar Minggu Panji Alam (Khamis)
Pusat Peniaga Batu Burok (Jumaat)
Pasar Payang
Pasar Cabang Tiga
Pasar Malam gong badak (Selasa)
Pasar Malam Mengabang Telipot (Khamis)
Marang
Pasar Minggu Kg. Kelulut (Sabtu)
Sepanjang jalan Marang
Dungun
Pasar Minggu Kuala Dungun (Khamis)
Kemaman
Kerteh (Selasa)
Kemasik (ahad, Rabu)
Chukai (Selasa)
Gerai makanan Che Wan
Sepanjang Pantai Geliga
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment